RSS

30 Jun

Ikhlas resipi kejayaan Pak Tam dan isteri

PAK Tam kini boleh berbangga dengan usahanya dan bertekad untuk terus maju.


SESEORANG lebih matang dan berjaya jika belajar daripada pengalaman. Tetapi sikap berani, sanggup berkorban dan sedia mencuba serta yakin dengan kebolehan sendiri masih jadi resipi penting dalam melayari kerjaya pilihan terutama dalam perniagaan.

Keberkatan usaha lebih terasa apabila pelaksanaannya berpaksikan syariah Islam.

Prinsip itu diketahui semua, khususnya yang Muslim. Cuma praktiknya mungkin belum lagi menyeluruh. Apalagi dengan amalan atau tindakan sentiasa ingat dan mengingatkan sesama sendiri dalam urusan seharian akan kematian yang menanti dan amanah pada setiap urusan keduniaan.

Tetapi itulah yang diterap dan diamalkan oleh pasangan Ruslin Ibrahim, 45, atau Pak Tam dan isterinya, Noraini Baharum, 45, serta warga kerja syarikat yang mereka bina, Juara Saji Sdn. Bhd. (JSSB) dalam operasi perniagaan restoran dan katering makanan.

Wartawan, WAN RAHIMAH DRAMAN dan jurufoto, MOHD. NOOR AMIN berkunjung ke Restoran Tuu… Dia Pak Tam di bangunan dua tingkat yang terletak di Dataran Templer, Bandar Baru Selayang, Batu Caves, Selangor untuk mencungkil rahsia kejayaan Pak Tam selaku pemilik dan Pengarah Urusannya.

MEGA: Mengapa dan bagaimana jenama `Tuu… Dia Pak Tam’ menjadi pilihan imej perniagaan?

PAK TAM: Saya suka pada perkara yang ceria, mudah dan lucu. Nama itu ada unsur humor.., yang penting ia lain dari yang lain.

Pak Tam tu gelaran atau pangkat yang jadi panggilan anak-anak buah dan mereka yang rapat. Lagi pun nama itu ringkas dan jelas kemelayuannya. Manakala nama `Tuu… Dia’, kami tokok tambah supaya nampak lebih menarik dan mudah melekat di hati pelanggan.

Bila dan bagaimana agaknya Pak Tam mula membina perniagaan katering dan rangkaian restoran makanan ini?

PAK TAM: Panjang ceritanya. Rentetan perjalanannya berliku dan penuh ranjau. Restoran Tuu…Dia Pak Tam tidak terus wujud dan bermula sebegitu.

Namun resminya, Restoran Tuu… Dia Pak Tam adalah jenama khas produk induk Juara Saji Sdn. Bhd. (JSSB) yang saya bina dan miliki sebaik pendaftarannya sebagai syarikat pengendalian makanan diluluskan pada 20 November 2001.

Apakah rentetan perjalanan serta liku dan ranjau yang dilalui sebelum tertubuhnya JSSB dan rangkaian Restoran Tuu…Dia Pak Tam?

PAK TAM: Segala liku dan ranjau itulah pembelajaran dan pengajaran yang benar-benar mendidik, membentuk dan mencorak diri, hidup dan kerjaya saya sekarang.

Ia benar-benar menginsafkan setiap kali saya kenangkan perjalanan silam. Ketika itu, apa yang saya tidak buat, bak kata orang ‘membujur lalu melintang patah.’ Semua saya cuba tetapi ikut kebolehan dan kemampuan diri sendiri.

Saya tinggalkan persekolahan tingkatan enam rendah di Alor Setar, Kedah untuk berhijrah ke Kuala Lumpur sekitar tahun 1982. Saya bekerja di sebuah syarikat, tetapi hanya beberapa bulan sahaja. Minat saya bukan di situ.

Kemudian saya berjinak dengan Pasar Borong Selayang, jadi peniaga ayam dan daging. Lama saya di situ (1983 hingga 1992).

Namun, pertengahan tahun 1992 perniagaan saya jatuh teruk. Semua yang diusahakan lupus dan saya muflis, sedangkan isteri dan anak-anak perlu ditanggung.

Daripada rakan-rakan saya belajar menjadi penjual barangan elektrik, jam dan kamera secara tidak sah ke Indonesia, Thailand dan India. Pada masa yang sama saya juga jadi perantara niaga kad kredit antarabangsa.

Perniagaan ini menyalahi undang-undang, tapi saya bersikap jujur ketika berurusan dengan pelanggan dan orang perantara, jadi tidak timbul masalah malah untungnya berganda. Ada beberapa rakan ‘kena cekup’ dan merengkok di penjara negara asing dan tempatan.

Berapa lama Pak Tam terlibat dalam perniagaan antarabangsa yang menyalahi undang-undang ini dan kenapa berhenti?

PAK TAM: Lebih dua tahun saya berurus niaga cara ini dan berulang alik antara Malaysia, Thailand, Indonesia dan India sama ada melalui darat (termasuk jalan tikus), udara dan laut.

Hasilnya memang lumayan tetapi habis begitu sahaja. Inilah akibat bila buat kerja bukan kerana Allah dan melupakan-Nya.

Banyak perkara saya pelajari. Dari sini saya kenal siapa taukeh, ah long dan ‘kudit’ (orang tengah di India). Malah saya kenal ramai pegawai-pegawai bank dan ‘VIP’ tempatan serta asing yang juga terlibat. Daripada mereka saya belajar selok belok berurus niaga.

Apa pun, saya berterima kasih pada isteri (Noraini Baharum) yang selalu menelefon memberi nasihat dan mengingatkan mengenai masa depan anak-anak ketika itu. Beliau selalu meminta saya berhenti dan mulakan perniagaan secara sah walaupun kecil.

Saya berhenti dan kembali berniaga secara kecil-kecilan dengan menjaja kuih yang dibuat isteri mulai April 1994.

Dengan modal RM25, kami jual mee rebus dan rojak pasembur bawah payung di bulatan Taman Selayang. Ketika itu juga kami mula berjinak dengan bazar Ramadan.

Selepas setahun menjual di bawah payung dan pelanggan mula biasa dengan mee rebus dan rojak pasembur, saya buat warung diikuti kedai ala koboi di tempat sama yang kemudiannya diruntuhkan untuk pembangunan oleh pihak berkuasa pada Mac 2002.

Namun, pengalaman menjual di bazar Ramadan lebih lima tahun dengan pendapatan sehingga RM34,000 sebulan serta peluang menjadi tukang masak Tabung Haji untuk jemaah haji Malaysia di Mekah (tahun 2000), benar-benar menyuntik semangat dan tekad saya untuk lebih maju dalam perniagaan makanan.

Bagaimana Pak Tam mengikat selera pelanggan sehingga berjaya meningkat naik dalam tempoh agak cepat?

PAK TAM: Pertama, keikhlasan dan kejujuran dalam berurusniaga sama ada dengan pelanggan mahupun rakan niaga lain serta lakukan dengan niat cari rezeki kerana Allah s.w.t. Selalu ingat Dia serta amalkan perintah-Nya. Ini saya jadikan moto dan amalan bagi warga pekerja JSSB.

Kedua, resipi mee rebus dan rojak pasembur yang menjadi menu utama, saya olah dan cipta sendiri setelah meneliti dan merasai hidangan-hidangan pesaing. Begitu juga dengan ramuan nasi beriani dan nasi kandar. Semua hidangan itu kini jadi menu utama rangkaian restoran dan kios Tuu..Dia Pak Tam.

Yang lain, adalah atas usaha gigih dan kerja keras dengan prinsip yakin pada kebolehan sendiri, belajar daripada pengalaman, pembacaan dan mengikuti kursus-kursus serta latihan yang disediakan oleh kerajaan.

Dengan purata pendapatan bersih dari hanya sekitar RM600 sebulan dan kini meningkat tidak kurang lima angka sebulan, apakah Pak Tam berpuas hati dengan apa yang dicapai sekarang?

PAK TAM: Dalam perniagaan tidak pernah wujud rasa puasa hati. Saya, isteri dan rakan-rakan pekerja sentiasa dan akan terus memperbaiki serta meningkatkan bukan sahaja kualiti tetapi juga kuantiti.

Terutama dari segi operasi dan keuntungan dengan sasaran mencapai pendapatan bersih melebihi RM1 juta sebulan dengan menambah baik dalam servis dan produk seiring dengan permintaan semasa.

Mulai tahun ini, sasaran saya bukan sahaja melebarkan operasi jualan menu utama Pak Tam ke luar negara seperti ke Timur Tengah, Eropah mahupun sekitar Asia, tetapi mengembangkan ilmu perniagaan yang dimiliki melalui penyediaan pakej-pakej kursus dan latihan pengendalian restoran, katering serta penyediaan resipi kepada peniaga baru supaya dapat bantu lahirkan lebih ramai usahawan Muslim yang berjaya.

RAHSIA KEJAYAAN PAK TAM

– Mulakan perniagaan ikut kemampuan diri sesuai dengan apa yang telah dimiliki.

– Elakkan diri dari meminjam sama ada dengan bank apa lagi ceti atau ah long.

– Berprasangka baik dengan semua orang terutama pesaing dan rakan peniaga lain.

– Jangan mudah berpuas dengan apa yang dicapai.

– Sentiasa belajar dan memperbaiki diri agar perniagaan terus maju.

– Jangan takut untuk mencuba sesuatu jika ia boleh meningkatkan lagi perniagaan.

– Mesti pasang niat hanya kerana Allah s.w.t sebelum memulakan sesuatu pekerjaan pada setiap pagi.

– Amalkan sesi tarbiah, muzakarah dan muhasabah serta membaca al-Quran bersama seluruh kakitangan sebelum memulakan tugas setiap pagi.

– Sentiasa ingat dan mengingatkan yang mati matlamat kehidupan dan perniagaan (dunia) adalah amanah yang perlu dilaksanakan.

– Hayati, fahami dan amalkan cara hidup Islam yang berteraskan al-Quran dan al-Sunah.

– Sentiasa ingatkan diri, keluarga dan pekerja pemilikan di dunia akan hilang tetapi amal ibadah kerana Allah s.w.t. kekal abadi.

– Peka dan prihatin dengan perkembangan, cita rasa pengguna dan pasaran semasa.

– Jangan bertindak melawan arus.

– Sertai setiap peluang dan program keilmuan disediakan kerajaan melalui agensi-agensi berkaitan.

– Kembang dan berkongsi pengalaman serta ilmu niaga dengan yang memerlukan.

– Yakin dengan diri sendiri dan apa yang diusahakan.

 
8 Comments

Posted by on June 30, 2008 in Pak Tam Corner

 

8 responses to “

  1. sue

    September 2, 2009 at 1:33 am

    go paktam!!!b da best among da best….

     
    • juarasaji

      April 14, 2011 at 4:51 am

      Thank u

       
  2. YUSERI BIN YUSOF

    November 24, 2010 at 8:58 am

    booking for a table for 15 people on 25-11-10 (thurs)
    for lunch around 1230pm

    Pls confirm by telephone 03-6137 9660 mdm Lim

    Tks
    CHINA CO

     
  3. intan

    January 22, 2011 at 5:39 am

    Tahniah atas kejayaan. Last month saya sekeluarga singgah di Hentian Rehat Ayer Keroh dan menikmati hidangan di Tu…Dia Pak Tam…pekena ketiaw sup….pehhh…memang menyelerakan. Tahniah..

     
    • juarasaji

      April 14, 2011 at 4:53 am

      Terima Kasih.
      Sila datang lagi…Apa-apa komen boleh di salurkan ke Facebook Tuuu…Dia Pak Tam.

       
  4. Siti

    February 7, 2011 at 4:17 am

    Mengapa tidak diberi alamat kedai serta koordinate GPS bagi memudahkan bakal pelanggan untuk datang ke kedai?
    Sila gunakan saluran internet ini dengan bijaknya bagi lebih memajukan perniagaan Bumiputera.

     
    • juarasaji

      April 14, 2011 at 4:51 am

      Terima kasih Siti.
      Alamat kedai ada di website ini.
      Atau pun Siti boleh kunjungi Facebook Tuuu…Dia Pak Tam.

       
  5. eyja

    July 18, 2011 at 9:10 am

    bagus pak tam… saya bangga dengan tu dia pak tam….

     

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: